Wednesday 15 April 2015

Suhakam: Kebanyakan Kes Kematian Tahanan Polis Akibat Masalah Kesihatan


KUALA LUMPUR, 15 April -- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mendedahkan kebanyakan kes kematian tahanan polis adalah disebabkan masalah kesihatan.


Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata statistik polis dari tahun 2000 hingga Februari 2014 menunjukkan hanya dua daripada 242 kes kematian dalam tahanan polis melibatkan perlakuan pihak berkuasa itu.

"Laporan daripada polis menunjukkan kebanyakan tahanan yang mati di lokap atau penjara disebabkan oleh masalah kesihatan seperti serangan asma, HIV atau serangan jantung," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Tahunan Suhakam 2014, di sini hari ini.

Berdasarkan laporan itu, kes bunuh diri dan pergaduhan juga dikatakan telah menyumbang kepada jumlah kematian tahanan tersebut.

Khaw berkata Suhakam akan mengeluarkan laporan penuh kajian melibatkan kes kematian itu awal tahun depan.

"Jumlah kematian yang dicatatkan ini agak tinggi sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai termasuk ahli keluarga tahanan. Jadi kami jalankan kajian ini bagi mengenal pasti faktor sebenar dan keadaan yang menyumbang kepada kematian dalam tahanan," katanya.

Khaw berkata kajian itu juga bagi memastikan keadaan penjara selamat bagi setiap tahanan dan untuk mengenal pasti amalan terbaik yang menyumbang kepada pengurangan kematian dalam tahanan.

"Semua pihak termasuk polis dan institusi berkenaan perlu bekerjasama untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah mencegah dan mengurangkan kematian dalam tahanan polis," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment