Friday 21 August 2015

PAS Menggunakan Ahmad Said Jatuhkan PM, Umno

Sebuah poster yang disebarkan di media sosial mengenai "Flashmob Save TRG" jelas menunjukkan bahawa Pas terdesak menggunakan mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Poster yang turut menggunakan lambang 1MDB berlatar belakangkan pelantar minyak dan gambar Ahmad Said turut mengajak orang ramai menunjuk perasaan ketidakpuas hatian terhadap Najib dalam isu 1MDB itu dengan memakai pakaian bertema hitam putih.

Dalam masa yang sama, Pas turut memperdayakan rakyat Terengganu dengan mengadakan tunjuk perasaan tersebut pada hari yang sama Najib datang ke Terengganu untuk merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Kuala Nerus.

Dikatakan Pas amat tercabar dengan kepimpinan dan kewibawaan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sehingga terpaksa melakukan pelbagai cara untuk melihat mesyuarat Umno bahagian yang diketuai oleh Ahmad Razif tidak berjaya.

Pas semakin takut apabila melihat perpecahan dalaman parti dengan tertubuhnya Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Pas juga ingin melihat Umno di Terengganu musnah apatah lagi Umno di Kuala Nerus yang dilihat semakin bertambah dan kuat.

Amat menyedihkan ialah apabila Pas terpaksa menggunakan Ahmad Said untuk menyebarkan fitnah kerana buat masa sekarang, Ahmad Said paling jelas dilihat mengkritik perdana menteri selepas dipecat dari jawatan menteri besar.

Apabila gagasan Transformasi Terengganu Baharu yang membawa slogan kecil bagi kita, besar bagi rakyat benar-benar berkesan pada rakyat Terengganu, kedudukan Pas mulai tergugat apabila kebanyakan ahlinya kini, hari demi hari mulai meninggalkan parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

Ini dapat dilihat apabila lebih daripada 150 orang ahli Pas telah keluar dari parti itu untuk menyertai Umno, seperti yang diumumkan di Besut minggu lalu ketika lawatan Ahmad Razif di sana.

Jika dilihat sekarang, Umno di Terengganu semakin kuat walaupun Ahmad Said kian menghentam.

Namun demikian, Ahmad Said tidak dilihat menghentam Umno tetapi terlalu kuat mengkritik pentadbiran Najib dan mengaitkannya dengan 1MDB.

Apabila banyak kali dianalisis ucapan Ahmad Said dalam mana-mana majlis yang dihadirinya, ucapannya lebih kepada mengkritik dan berbaur masalah peribadi dan bersifat dendam.

Tiada sedikit pun Ahmad Said menyentuh mengenai perjuangan Umno dan Pas melihat Ahmad Said merupakan kunci utama untuk melemahkan lagi Najib dan memporakperandakan kekuatan Umno.

Pas dilihat kian terdesak apabila nakhodanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih banyak bersikap mendiamkan diri daripada mengawal ahli-ahli Pas yang kian memberontak.

Tambahan pula 21 Ogos ini GHB akan mengadakan satu majlis perjumpaan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganj di mana sebuah parti baharu "Parti Amanah Rakyat (AMANAH)" akan diumumkan nanti.

Ini yang membuatkan Pas terutamanya di Terengganu makin gelisah akan kehadiran beberapa Individu terutama yang menggerakkan GHB.

Pas tidak mahu hanya partinya sahaja yang musnah dan cuba mengheret Umno ke kancah kemusnahan yang sama.

Pas tidak lagi relevan apabila lebih banyak menggunakan fitnah dan boikot sebagai alat perjuangan mereka bagi memenangi hati rakyat.

Dalam isu mempergunakan Ahmad Said pula, Pas lebih selesa menggunakan Ahmad Said kerana Adun Kijal itu langsung tidak mengambil tindakan atau mengeluarkan kenyataan tentang apa yang dibuat oleh Pas.

Apabila Ahmad Said dilihat seolah-olah "redha", maka Pas akan terus menggunakan Ahmad Said sebagai kunci utama merosakkan Umno.

Hanya satu pesanan kepada ahli Pas. "Jika mahu boikot dan memperalatkan Ahmad Said dalam membawa agenda busuk mereka, Pas harus mula fikir untuk membuat cara lain pula bagi menunjuk perasaan. Ini kerana tunjuk perasaan FLASHMOB itu sudah sebati dan sinonim dengan Pemuda Pas Terengganu atau bahasa ringkas "TOO CLICHE".

No comments:

Post a Comment