Saturday, 16 April 2016

Selepas Ketua Puteri, Ketua Pemuda Umno Negeri Terengganu Bakal Ditukar?


Pemuda Umno Negeri Terengganu disarankan bergerak lebih aktif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti turun 'padang' dalam mengenalpasti masalah rakyat serta mendampingi mereka untuk menerangkan isu-isu semasa yang berlaku di dalam Umno.

Paling tidak, Ketua Pergerakan Pemuda Malaysia perlu menukar Ketua Pemuda Negeri yang sedia ada kepada orang yang lebih komited. Jika Ketua Puteri Malaysia berani lakukan perubahan kenapa tidak Khairy Jamaluddin yang terkenal dengan ketegasannya.

Menurut sumber, Pemuda Umno di peringkat negeri, yang diketuai oleh Johari Abu Bakar, seharusnya bergerak lebih aktif dalam mengaturkan program-program berjumpa dengan rakyat.

"Pemuda Negeri kena fikirkan program-program yang memberi impak positif kepada parti keramat kita untuk difokuskan kepada pemuda dan belia dan bukannya menumpang di atas program-program ketua pemuda bahagian lain.

"Sekurang-kurangnya, dia (Johari) buat sesuatu yang memberi kesan baik kepada parti di mana pemuda-pemuda dan belia-belia di Terengganu faham akan perjuangan parti untuk agama, bangsa dan tanah air," katanya.

Sumber pemuda pusat turut menyokong bahawa sepanjang Johari memegang tapak Ketua Pemuda Perhubungan Umno Negeri di bawah pimpinan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, tiada program dizahirkan sendiri daripada idea beliau.

Katanya lagi, di masa kini, program-program berkaitan dengan belia tidak perlu terlalu gempak yang menelan belanja yang besar tetapi cukup sekadar program yang cakna terhadap mereka.

"Pemuda Umno mesti rapat dengan belia-belia, bukan sahaja di kampung dan bandar malah pengundi yang berada di luar Terengganu.

"Mereka (belia) mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dibawa oleh pembangkang dan sekiranya dia (Johari) tidak buat program turun padang menerangkan isu-isu semasa yang berlaku dalam parti dan negara, mereka akan percaya kepada dakyah yang tidak betul dan seterusnya akan memberi undi kepada pembangkang pada pilihanraya nanti," katanya.

Beliau turut berkata sebagai Ketua Pemuda Umno di peringkat negeri, peranannya amat besar sekali terutamanya dalam mempertahankan apa jua isu yang berlaku dalam parti mahupun berkaitan dengan pemimpin nombor satu negeri.

"Saya tidak tipu. Kadangkala menteri besar juga difitnah (dalam media sosial dan sebagainya) dan sayangnya, di mana tindakan Johari? Adakah beliau terus pergi membuat laporan polis dan membuat sebarang kenyataan?

"Sepatutnya, apabila berlaku sebarang kejadian mahupun perkara yang besar berlaku, sesuatu kenyataan yang mempertahankan parti dan pemimpin bermula daripada sayap-sayap parti sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan oleh majlis tertinggi perhubungan negeri," katanya.

Ujarnya, beliau bukan berniat untuk mempersoalkan tindakan Johari mahupun Ketua Pemuda Umno yang lain tetapi sekadar menegur untuk kebaikan parti, bangsa, agama dan tanah air.

"Boleh mula dah (untuk bergerak turun padang berkempen secara perlahan-lahan) bagi menghadapi PRU ke 14," tambahnya.

No comments:

Post a Comment